
CERITA dongeng konflik tradisi antara anjing dan kucing diketepikan sementara di New Zealand apabila darah anjing digunakan untuk menyelamatkan seekor kucing yang termakan racun dalam satu proses pemindahan darah yang jarang dilakukan.
Mengikut laporan AFP, pemilik kucing bernama Rory iaitu Kim Edwards pada Jumaat lepas terkejut kucingnya semakin lemah selepas termakan racun, terus dikejarkan ke Klinik Veterinar di Tauranga untuk mendapatkan bantuan.
Veterinar Kate Heller berkata kucing itu menjadi semakin teruk dan memerlukan pemindahan darah segera untuk diselamatkan tetapi mereka tidak mempunyai masa untuk menghantar sampel ke makmal bagi mengetahui kategori darah kucing itu.
Beliau membuat keputusan untuk menggunakan darah anjing untuk menyelamatkan kucing itu walaupun tahu kucing itu bakal mati jika beliau tersilap memberi darah dengan kategori berbeza.
Edwards menelefon rakannya Michelle Whitmore, yang secara sukarela memberikan kebenaran untuk menggunakan anjing miliknya jenis Labrador Hitam untuk menjadi penderma darah dalam usaha menyelamatkan Rory.
“Orang ramai akan berfikir bahawa ianya aneh tetapi kami akhirnya berjaya dan berjaya menyelamatkan nyawa kucing itu,” kata Heller kepada akhbar New Zealand Herald.
Menurut Edwards, pegawai veterinar itu mencuba sesuatu yang mustahil pada saat mereka tiada pilihan dan amat menakjubkan apabila ianya berhasil.
Si kucing Rory kembali seperti normal dan sihat seperti sediakala.
Posting Komentar