
NEW DELHI – AirAsia India mendapat sijil tiada halangan (NOC) daripada Kementerian Penerbangan Awam, yang memberi laluan kepada usaha syarikat penerbangan itu untuk memulakan operasinya di India.
“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa AirAsia India telah menerima kebenaran NOC daripada kerajaan India.
“Amat menarik dan menguntungkan,” demikian tweet Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
Fernandes berkata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India Mittu Chandilya dan pasukannya telah menyelesaikan segala keperluan yang perlu dilaksanakan.
“Kami amat berterima kasih kepada Kemenetrian Penerbangan Awam kerana memberi sijil tiada halangan kepada kami dengan begitu cepat. Ini merupakan NOC terpantas yang diberikan dan dengan ini kami akan memberi tumpuan terhadap usaha memperoleh Premit Operasi Udara,” kata Chandilya.
Beliau berkata AirAsia India akan terus dengan persediaannya dan bersedia untuk memulakan operasi apabila Permit Operasi Udara diperoleh dan berharap menjadi penyumbang dinamik kepada pembangunan industri penerbangan India.
AirAsia India yakin syarikat akan dapat mengulangi kejayaan syarikat sekutu di Malaysia, Thailand dan Indonesia; serta membolehkan rakyat India menggunakan perkhidmatan penerbangan pada kadar yang mampu melalui prestasi operasi yang baik dengan memberi penekanan terhadap tumpuan dan struktur kos yang bakal memberi manfaat kepada pengguna India, katanya dalam satu kenyataan.
NOC berkenaan bermakna AirAsia India kini akan dapat mengimport pesawat ke pangkalannya di Chennai, Tamil Nadu.
Fernandes telah menyatakan sebelum ini bahawa operasi di India akan terus menggunakan pesawat Airbus A320.
Langkah AirAsia India seterusnya ialah memohon lesen syarikat penerbangan daripada pengawal selia penerbangan Ketua Direktorat Penerbangan Awam (DGCA).
Apabila langkah ini dilaksanakan, operasi boleh dimulakan.
AirAsia India, yang telah mula mengambil pekerja di India merancang untuk memulakan penerbangan pada akhir tahun dengan tumpuan permulaan kepada Selatan India.
Chandilya berkata syarikat penerbangan itu kini mempunyai tiga pesawat Airbus A320 dan lebih 200 kakitangan pada masa ini.
AirAsia India merupakan usaha sama 40:30:21 antara AirAsia Bhd, Tata Sons dan Telestra Tradeplace Pvt Ltd. – BERNAMA
Posting Komentar